AMPANG: Seorang pensyarah warga Britain dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tuduhan menyebabkan kematian lelaki tempatan, bulan lalu.
Bagaimanapun, Ricos Nicholas Christen, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Leong Chin Yap dengan menumbuk mangsa di belakang kepala.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di kaki lima Leisure Bay Cafe dan Restaurant, No 78 G, Jalan Pandan Indah 4G68B, Pandan Indah dekat sini jam 2 pagi, 29 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Dalina Ali memohon wang jaminan RM20,000 disebabkan kesalahan itu serius.
Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam Ram Karpal Singh memohon wang jaminan dikurangkan disebabkan anak guamnya tidak mempunyai wang banyak kerana baru lapan bulan mengajar di kolej di sini. Hakim Roszianayati Ahmad kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan memerintahkan lelaki itu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Beliau juga mengarahkan Nicholas melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan sebutan semula kes pada 6 Julai ini.










0 comments:
Post a Comment